Assalammualaikum semua.
hari ni AK nak berkongsi pasal Istidraj. apa itu Istidraj?
pernah tak kawan-kawan terfikir..
si A ni tak pernah patuh suruhan Allah, tapi dia selalu dilimpahi kemewahan, hidup bahagia etc. kenapa Allah bagi pada dia? sedangkan org yg beriman dan taat pada suruhan Allah hidup susah, kadang kala ditimpa dengan pelbagai dugaan.
AK pernah jugak terfikir pasal ni. dan Alhamdulillah AK dah dapat jawapannya. jom AK share jawapannya.
Apa itu ISTIDRAJ???
Kita tahu bahawa ilmu itu cahaya, dan
tidak akan memasuki hati-hati yang gelap, tetapi kita lihat, kawan kita
yang berjudi, yang minum arak, boleh berjaya pula, sedangkan kita
terkial-kial walaupun sudah berusaha. Kita tahu bahawa, siapa yang
berbuat baik, taat kepada ALLAH akan dipermudahkan jalan kehidupannya,
tetapi kita lihat, kawan kita ini tidak solat, tetapi bisnesnya menjadi,
kita pula hidup dengan penuh cabaran dan duga. Kita juga tahu bahawa,
ISLAM ini agama yang benar, tetapi kita sering melihat orang-orang yang
bukan ISLAM itu lebih berjaya, dan ummat ISLAM tertindas dalam kehidupan
sempit lagi derita.
Orang bertanya kepada saya. Kenapa begitu? Sekarang ini, yang manakah benar? Adakah kita faham selama ini tidak benar?
Maka saya hendak bertanya kepada anda.
Adakah anda tahu apa itu istidraj?
Istidraj ini adalah satu kalimah, yang sering menunjuk kepada keadaan
seseorang itu yang terus dilimpahkan rezeki dan kejayaan yang melimpah
ruah dalam kehidupannya, walaupun dia bukan hamba ALLAH yang taat, malah
seorang pembuat maksiat yang tegar. Kenapa mereka ini dinamakan manusia
yang mendapat istidraj? Apakakah maksud istidraj?
Istidraj
adalah, apabila ALLAH memberikan kejayaan, harta kekayaan, rezeki yang
melimpah ruah untuk manusia itu menjadi lebih jauh dariNya.
Biasanya, manusia yang mendapat istidraj ini adalah mereka yang tidak
berusaha menjalankan ISLAM dalam kehidupan, juga tidak berusaha
mengenali ALLAH SWT.
Contoh manusia yang mendapat istidraj ini
banyak. Kita lihat contoh yang mudah. Qarun. Apakah anda kenal kepada
Qarun? Dia ini adalah seorang manusiayang teramat kaya. Diriwayatkan
bahawa, kotak yang mengisi kunci kepada gedung-gedung perbendaharaannya
tidak mampu diangkat oleh orang-orang yang kuat. Hal ini hendak
menyatakan betapa kayanya dia.
Kisah Qarun terdapat di dalam
Al-Quran. Hartanya melimpah ruah. Segala perniagaannya menjadi. Segala
pelaburannya mengembang. Hartanya makin hari makin bertambah, sedang
yang bertambah semalam tidak pula luak digunakan.
Tetapi bila
Nabi Musa cuba mengingatkannya berkenaan semua kekayaannya itu datang
daripada ALLAH, maka Qarun dengan angkuh menjawab,
“ Tidak, semua ini adalah hasil dari ilmuku”
Lihat. Lihat apa kata Qarun. Tidak, semua ini adalah hasil dari…
ILMUKU. Dia nyata semakin jauh dari ALLAH, walaupun kekayaannya menjadi,
rezekinya melimpah ruah dan sebagainya. Dia saban waktu memperlekehkan
pengikut-pengikut nabi Musa yang terdiri dari orang miskin dan hamba.
Apakah pengakhiran Qarun? Dia akhirnya ditenggelamkan ALLAH ke dalam
bumi dengan seluruh hartanya. Kisah ini terdapat di dalam Al-Quran.
Nah… Apakah itu yang kita mahu?
Sebab itulah, saya hendak mengajak saudara-saudari berfikir, apakah
yang akan timbul di dalam hati kalian apabila kalian ini jenis yang
melazimi dosa-dosa, melakukan maksiat, kemudian kalian berjaya di dalam
peperiksaan atau perniagaan. Apakah yang agaknya akan timbul dalam jiwa
kalian?
Saya yakin, 99% akan merasa begini, “ Tengok, aku tak solat pun berjaya. Siapa kata solat tu bawa kejayaan?”
Apakah yang akan terjadi kepada anda ketika itu? Anda berjaya, tetapi anda semakin jauh dari ALLAH. Itulah istidraj.
Maka jangan gusar bila tidak berjaya. Cuba lagi. Hubungan keimanan anda
dengan ALLAH itulah yang pertama sekali perlu anda perhatikan. Jika
anda berjaya membina hubungan keimanan yang baik, insyaALLAH, datanglah
badai apa sekalipun, anda akan mampu melaluinya.
Sebenarnya ALLAH suka menguji hamba-hambaNya yang beriman. Terdapat satu kisah yang saya suka baca ketika saya masih kecil.
Terdapat dua orang nelayan. Seorang penyembah berhala, dan seorang lagi
muslim yang taat kepada ALLAH. Ketika menebar jala, yang menyembah
berhala menyebut nama berhalanya, manakala yang muslim membaca
bismillah. Bila jala diangkat, yang menyembah berhala mendapat banyak
ikan, manakala yang muslim, hampir sahaja tiada ikan untuknya pada hari
itu.
Malaikat yang melihat keadaan itu bertanya kepada ALLAH.
“ Ya ALLAH, apakah yang telah berlaku? HambaMu yang menyekutukanMu, KAU
berikan dia rezeki yang banyak, sedangkan hambaMu yang menyebut namaMu,
KAU tidak memberikan DIA apa-apa”
ALLAH menjawab,
“
Yang menyekutukanKu, tempatnya memang sudah pasti NERAKA. Maka apalah
sangat rezeki yang pasti akan hancur itu jika Kuberikan kepadaNya?
Tetapi HambaKu yang beriman itu, AKU hendak mengganjarkanNya syurga,
maka AKU suka mengujinya untuk melihat kebenaran imanNya”
Nah,
jangan anda kecewa bila diuji, tidak berjaya di dalam peperiksaan walau
sudah studi, gagal dalam perniagaan walau kemas menyusun strategi. Itu
semua adalah sebahagian dari ujian ALLAH. ALLAH menguji hanya untuk
mereka yang dikasihi. Bukankah ALLAH SWT ada berfirman,
“ Apakah kamu mengira KAMI akan membiarkan kamu berkata kami beriman sedangkan kamu belum diuji?…”
Jika gagal terhadap satu-satu perkara, itu perkara itu. Anda masih
belum gagal dalam kehidupan. Teruskan usaha, selagi nyawa masih ada.
InsyaALLAH ALLAH akan memberikan sesuatu yang bermakna kepada anda.
Bersangka baiklah kita kepada PENCIPTA kita.
Maka sebenarnya,
bila hidup kita digegarkan dengan masalah, hendaklah kita rasa
bersyukur. Tandanya, ALLAH masih lagi dekat dengan kita. Ujian adalah
tanda kasih sayang dan perhatianNya kepada kita.
Mustahil anda suka senang sebentar di dunia, di akhirat yang kekal abadi nanti anda merana. Anda mahukan istidraj?
Saya yakin tidak..
Anda tenang sekarang?
Anda wajib untuk tidak berasa tenang jika anda berbuat dosa, dan anda
berjaya. Sebab itulah, muhasabah diri itu penting. Untuk kita sentiasa
periksa bagaimanakah hubungan kita dengan ALLAH SWT.
Aku
berdosa, tetapi aku berjaya…. Berhati-hatilah kita agar jangan sampai
lafaz itu, atau lafaz-lafaz yang membawa maksud serupa itu terkeluar
dari mulut kita.
Mari kita sama-sama duduk, dan bermuhasabah semula.
4 comments:
oh...faham sudah sy..apa maksudnya..
semoga kita2 semua tidak tergolong dalam golongan istidraj.. :)
terima kasih dik atas perkongsian ni.. akak betul2 menghargainya.. :D tertusuk ke dasar hati.. selama hari ni kadang2 akak fikir tak adil bila segala dugaan tu dtg pd akak tp akak lupa itulah tanda besarnya kasih sayang Allah swt utk akak rapat & hampir pdNYA tiap kali diri diduga.. :) Happy Weekend Sis.. ;)
Moga kita dijauhi dari sifat sebegitu...
thanks for sharing,dear...insyaAllah... kita sama2 muhasabah dan perbaiki diri..jadikan setiap hari, hari yang baru untuk kita berjuang untuk jadi yang lebih baik..insyaAllah.. :)
Post a Comment